Sunday, August 9, 2009

Yayasan Pencegahan Jenayah Perluas Konsep "Komuniti Selamat"

JOHOR BAHARU, 23 Julai (Bernama) -- Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) sedang berusaha untuk memperluaskan konsep "Komuniti Selamat" agar dapat dilaksanakan di seluruh negara.Naib Pengerusinya Tan Sri Lee Lam Thye berkata "Komuniti Selamat" merujuk kepada usaha membasmi jenayah dan mewujudkan persekitaran selamat di kawasan perumahan, sekolah, tempat kerja serta pelbagai institusi lain."Kami berharap Komuniti Selamat ini dapat dilaksanakan dengan berkesan sejajar dengan Konsep 1Malaysia.

Konsep Komuniti Selamat ini didapati berjaya dilaksanakan di Hong Kong dan saya sendiri sudah tinjau kejayaan konsep itu di sana," katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, Khamis, dan turut hadir pada lawatan itu ialah Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff dan Pengerusi MCPF Johor Tan Kok Hong.Lee berkata pihaknya dalam pada itu menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai usaha mencegah dan membasmi jenayah yang menjadi salah satu dari enam teras Petunjuk Bidang Keberhasilan Utama Negara.Beliau berkata MCPF sebagai badan bukan kerajaan sentiasa berusaha membantu pihak berkuasa membanteras jenayah dan berasa gembira kerana pencegahan jenayah menjadi keutamaan kepimpinan Perdana Menteri dalam pentadbirannya.

Katanya sejajar dengan sokongan itu, MCPF menggesa kerajaan supaya meningkatkan peruntukan kewangan kepada Polis Diraja Malaysia bagi membolehkan pasukan itu membeli aset dan kelengkapan teknologi terkini.Dalam perkembangan lain Lee berkata sambutan bulan pencegahan jenayah peringkat kebangsaaan anjuran MCPF tahun ini akan diadakan pada 15 Ogos ini di Putrajaya.Katanya sambutan kali ini akan memberi tumpuan kepada pembabitan pelajar sekolah dalam usaha mendidik dan memupuk nilai murni di kalangan generasi muda.

No comments:

Post a Comment