SANDAKAN: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), menyeru rakyat di negara supaya berusaha ke arah toleransi sifar terhadap jenayah dengan mewujudkan suatu budaya anti-jenayah. Naib Pengerusi MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye berkata kearah itu agar lebih usaha digiatkan untuk menangani jenayah ini melalui penguatkuasaan undang-undang dengan efektif dan meningkatkan lagi penglibatan masyarakat di dalam usaha pencegahan jenayah.
“Jenayah keganasan bukan satu ciri masyarakat kita. Oleh itu, kita harus mencari punca masalah serta langkah-langkah untuk mengatasinya. Kerajaan dan masyarakat perlu berganding bahu dalam menangani budaya keganasan ini dalam apa juga bentuk sekalipun,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini sempena lawatan kerja ke Sandakan pada Ahad.
Sehubungan itu, Lee menyarankan agar lebih tumpuan terhadap aspek keselamatan dan persekitaran bebas dari bahaya jenayah di samping berusaha untuk mencapai pembangunan negara yang seimbang.
Katanya ketika ini negara menghadapi pelbagai masalah sosial seperti ancaman dadah yang serius, salah laku juvana dan jenayah keganasan terhadap kanak-kanak dan kerosakan harta awam. Jelas beliau ia merupakan penanda penurunan nilai-nilai murni yang jika tidak diatasi dengan berkesan akan menggugat aspirasi negara ke arah negara yang maju.
“Kita bukan sahaja perlu menangani masalah sosial dan cabaran-cabaran ekonomi tetapi juga isu-isu lain yang lebih penting seperti integrasi kaum, perpaduan dan pembangunan negara. Apa yang membimbangkan ialah hampir tiada hari berlalu tanpa laporan tentang masalah sosial dan jenayah,” katanya lagi.
Ini jelas kata Pemegang Amanah 1 Malaysia itu, hakikatanya tidak dapat dinafikan lagi bahawa jenayah masih terus dilakukan oleh golongan muda. “Kita perlu menyiasat punca berlakunya jenayah ini dan mencari jalan penyelesaian untuk menghentikan masalah. Sekiranya peningkatan kadar jenayah adalah merupakan sebahagian daripada hasil kemajuan negara maka aspek tersebut harus ditangani,” tegas beliau.
Sehubungan itu, kerajaan dan organisasi bukan kerajaan serta masyarakat secara keseluruhanya perlu memulakan satu usaha dalam mewujudkan suatu program ke arah pemupukan nilai murni untuk negara terutama bagi mempromosikan kesedaran terhadap nilai-nilai kemanusiaan dan murni di dalam masyarakat. Sementara itu Lee mahu Institusi kekeluargaan dan nilai murni terus dipelihara supaya dapat digunakan sebagai perisai kepada pelbagai masalah sosial yang mengancam masyarakat. Beliau berkata demi masa depan generasi yang mendatang, rakyat Malaysia mesti mendukung nilai-nilai murni dengan teguh dan padu serta tidak meneladani budaya barat secara membuta tuli.
“Kita tidak seharusnya melahirkan suatu masyarakat yang angkuh, tamak dan terlalu asyik mencari harta kekayaan, sebaliknya kita perlu menjadi masyarakat yang penyayang tercipta dari hasil budaya kita serta dipupuk dengan semangat tanggungjawab, kesedaran dan moral dan keinsafan rohani,” katanya.
Lee juga menjelaskan kesedaran awal juga harus bermula dari bangku sekolah kerana kadar kejadian melanggar disiplin di sekolah perlu ditangani dengan segera serta memberi perhatian terhadap masalah berkenaan. Katanya sebagai rakyat Malaysia, generasi pelapis harus dididik dengan ilmu pengetahuan serta mempastikan mereka menghargai nilai-nilai murni seperti sifat toleransi, persefahaman, hormat menghormati di kalangan rakan dan keluarga.
Menurut beliau lagi ia juga termasuk kepatuhan terhadap undang-undang, keyakinan diri dan sifat keterbukaan terhadap perbezaan agama, kepercayaan adat dan budaya.
No comments:
Post a Comment