Sunday, August 9, 2009

Perhebatkan budaya cegah jenayah

PENGUMUMAN Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyasarkan pengurangan sebanyak 20 peratus jenayah jalanan pada penghujung tahun 2010 sebagai salah satu teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) adalah amat tepat dan wajar. Kita harus memandang serius trauma yang berkait dengan ketakutan mangsa dan rakyat terhadap jenayah.

Walaupun jenayah ragut hanya meliputi lima peratus daripada jumlah indeks jenayah, tetapi persepsi masyarakat meletakkan kategori jenayah ini sebagai amat menakutkan. Ramai mangsa yang cedera parah malah tidak kurang yang menemui maut akibat jenayah ragut ini. Jenayah jalanan yang boleh diklasifikasikan sebagai samun menggunakan senjata seperti pisau dan parang juga tergolong dalam kategori jenayah trauma. Ia meliputi 12 peratus jumlah jenayah indeks dan jika tidak dibendung ia akan meningkat.

Jenayah pecah rumah juga menghantui semua lapisan masyarakat. Tahap trauma akibat jenayah ini tidak kurang meresahkan di mana ia merupakan lebih kurang 17 peratus daripada jenayah indeks. Saya tidak menafikan kes-kes bunuh, rogol, culik dan jenayah lain juga memberi kesan trauma tetapi kes ragut, pecah rumah dan jenayah jalanan memang patut diberi keutamaan kerana ia melibatkan masyarakat secara langsung dan juga faktor ekonomi seperti pelancongan dan pelaburan secara tidak langsung.

Pengumuman Perdana Menteri dan beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri jelas membuktikan iltizam pihak kerajaan menangani isu jenayah. Masa telah tiba bagi semua pihak untuk memberi sokongan padu kepada polis dan pihak berkuasa untuk sama-sama membanteras jenayah. Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) akan terus bergerak dengan lebih cergas dan bersungguh-sungguh dalam bidang pendidikan pencegahan jenayah.
MCPF komited dan akan menghulurkan kerjasama sepenuhnya kepada Kementerian Dalam Negeri bagi membantu mencapai KPI yang telah ditetapkan ini selain menggerakkan masyarakat ke arah membanteras jenayah. Pembuat dasar, ahli-ahli akademik dan pelbagai lapisan masyarakat perlu bersatu menghadapi cabaran dan menjadikan bandar, pekan dan kampung selamat untuk didiami oleh semua orang.

Dalam hubungan ini, usaha berterusan perlu dilakukan untuk mengurangkan kadar jenayah dan perasaan takut terhadapnya, di samping mewujudkan kejiranan dan suasana bandar yang lebih selamat. Agenda untuk mengawal dan mencegah jenayah memerlukan usaha yang bersinergi, bersepadu, dan bersungguh-sungguh daripada semua pihak.

Semua pihak mempunyai peranan dan tugas untuk dilakukan dalam usaha memerangi jenayah.
Melalui projek inisiatif bandar dan kejiranan selamat, MCPF berharap dapat melibatkan penyertaan semua lapisan masyarakat dalam mendidik orang ramai mengenai apa yang mereka perlu lakukan untuk mengelakkan kejadian jenayah.


Kita perlu mengusahakan sedaya mungkin bagi menghilangkan perasaan takut kepada jenayah di kalangan rakyat bagi merealisasikan matlamat rakyat didahulukan, kerana apabila rakyat merasa amat selamat maka barulah kualiti hidup mereka terjamin.

TAN SRI LEE LAM THYE ialah Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia

No comments:

Post a Comment