Friday, January 2, 2009

Jenayah pelajar meningkat

KUALA LUMPUR: Indeks jenayah membabitkan pelajar sekolah dari Januari hingga Jun tahun ini meningkat kepada 1,034 kes berbanding 888 dalam tempoh sama tahun lalu. Jumlah itu adalah sebahagian daripada jumlah keseluruhan 113,520 kes jenayah yang turut meningkat sebanyak 7,284 kes berbanding 106,236 bagi tempoh sama, tahun lalu.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata keadaan itu semakin membimbangkan dan perlu diperbaiki segera supaya tidak merebak.

“Daripada 1,034 kes itu, sebanyak 402 membabitkan jenayah kekerasan, manakala 632 lagi jenayah berkaitan kerosakan harta benda.

“Kes ini membabitkan pelajar berusia antara 7 hingga 18 tahun. Oleh itu, penekanan mengenai aspek pencegahan jenayah perlu diterap ke dalam jiwa masyarakat daripada usia muda,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Kelab Pencegahan Jenayah dan Pelancaran Bulan Kemerdekaan Sekolah Kebangsaan St John (1) di sini, semalam.

Beliau berkata, kelab terbabit dapat membentuk masyarakat pelajar yang mempunyai kesedaran tinggi terhadap pencegahan jenayah.

“Sekolah ini adalah sekolah rendah pertama di Kuala Lumpur yang menubuhkan kelab pencegahan jenayah yang dapat memberi kefahaman kepada pelajar mengenai pelbagai hal berhubung jenayah selain kepentingan penguatkuasaan undang-undang.

“Saya juga berharap pelajar yang menjadi ahli akan bertindak sebagai ‘mata dan telinga’ kepada pihak sekolah dan dengan segera melaporkan maklumat membabitkan jenayah yang berlaku,” katanya.

No comments:

Post a Comment